Tuesday, March 29, 2011

kahwin muda

Bismillahirrahmanirrahim.

Seorang ukhti berpangkat "adik" berinteraksi dengan ana menerusi facebook. Sabar beliau menanti balasan mesej dari ana, dan ana tersenyum membaca mesej yang diberikan kepada ana. Usianya baru menginjak 18 tahun dan baru-baru ini selamat menjadi isteri kepada seorang pemuda (yang soleh, insya Allah). Apa yang membuatkan ana tersenyum meleret apabila beliau bercerita dan berkongsi perasaan dengan ana, mungkin kerana beliau merasakan ana juga kahwin di awal usia jadi beliau selesa untuk meluahkan hatinya kepada ana.

Dia ditunangkan oleh keluarga atas dasar pilihan keluarga. Memberontak, itu perkara biasa apabila seseorang merasa terpaksa melakukan sesuatu. Adik ini juga begitu, hatinya berombak apabila terasa dipaksa untuk berkahwin seawal usia 18 tahun dengan pemuda pilihan keluarga. Namun, yang membezakan dia dengan remaja lain adalah dia muhasabah dengan panduan iman. Setelah mengikut kehendak keluarga untuk bertunang, hatinya kian sukar untuk menjaga dan menghafaz al-Quran.

Kepada sahabiah solehah yang sudah peroleh syahadah hafizah Quran diajukan persoalan hatinya, maka sahabiah solehah tersebut memberi saranan agar segera berkahwin untuk menjaga hati. Maka, adik ini memberitahu walidnya akan perihal hatinya yang sukar untuk menghafaz al-Quran setelah bertunang. Akhirnya, rencana untuk berkahwin akhir tahun bertukar segera apabila walidnya menikahkah mereka baru-baru ini. Alhamdulillah.

Ana selalu mengulang... "Bila dah jodoh, Allah pasti akan permudahkan meskipun sebelum tu terlalu banyak ranjau dan duri. Tapi, bila Allah nak jodohkan seolah-olah semuanya jadi mudah."

Disebalik pemberontakan jiwa, akhirnya dia peroleh ketenangan yang sebelum ini tidak dirasai. Tenang setelah diijabkabulkan dengan pemuda tersebut. Hafazan semakin mudah dan hati tidak lagi bergelumang dengan ombak dan pasir.

Kadang-kadang, manusia takut untuk melaksanakan perintah Allah kerana bimbang tidak dicukupkan rezeki seperti yang diharapkan. Manusia takut untuk menghindari maksiat kerana bimbang dirinya akan menjadi 'tidak laku'. Maka, memilih untuk bercinta dan 'mengenali hati budi' masing-masing sehingga akhirnya kecewa dengan harapan yang palsu.

Tidak mudah apabila membuat keputusan untuk berkahwin apatah lagi pada usia yang muda. Sifat keanak-anakan si perempuan yang masih tebal, kurangnya pengalaman dalam mentadbir urusan hati (merajuk), kurangnya kesabaran dalam melayani kerenah suami dan pelbagai kekurangan diri. Tanpa sedar, sebenarnya berkahwin adalah proses tarbiyyah (didikan) yang berterusan.

Suami yang soleh dan berilmu akan mendidik isteri mengikut acuan al-Quran dan sunnah Nabi. Suami yang tugasnya sebagai PENDIDIK perlulah sentiasa memainkan peranan dengan bijaksana. Isteri yang bersifat keanak-anakan, perlulah ditegur dengan hikmah dan ditarbiyyah dengan kasih-sayang. Isteri yang mudah merajuk, usahlah dilayan rajuknya sehingga isteri merasakan merajuk adalah solusi terbaik untuk mendapat perhatian suami. Isteri yang tidak sabar dengan kerenah suami, maka suamilah yang perlu mengurangkan kerenahnya yang keanak-anakan agar isteri akan menjadi lebih matang sesuai dengan usia perkahwinan.

Bila ada sahabat yang mahu melangsungkan perkahwinan, dan adik ini yang berkahwin di usia yang muda... Memang ana tidak ada pengalaman dalam kehidupan rumahtangga tetapi, ana tidak mahu terlepas untuk berkongsi rasa.
BERSYUKURLAH kerana Allah telah memilih kita untuk menjadi seorang isteri kerana di saat ini masih terlalu ramai wanita solehah yang menanti detik-detik untuk menjadi seorang isteri tetapi mereka diuji oleh Allah, bukan kerana Allah membenci tetapi untuk meningkatkan lagi ilmu dan amalan mereka supaya setelah menapak di gerbang rumahtangga mereka lebih bersedia dari kita yang berkahwin di awal usia.


Ramai sahabat yang menanti untuk dilamar oleh lelaki yang soleh, namun kerana KURANGnya lelaki berkualiti (soleh) pada zaman ini menyebabkan ramai wanita yang tidak berkahwin dan ada pula yang memberi seribu satu alasan untuk menangguhkan perkahwinan. Setiap orang diberikan ujian tetapi ujiannya tidak sama. Tetapi, pokoknya sama ~ ujian adalah tarbiyyah dari Allah. Setelah berumahtangga, banyak lagi ujian-ujian yang jauh lebih besar akan ditempuh bersama pasangan berbanding sebelum berkahwin.

Jadikanlah ujian-ujian sebelum berkahwin sebagai wasilah untuk muhasabah diri dan medium untuk melentur hati agar bersedia untuk menggempur badai di alam rumahtangga kelak. Setiap ujian yang datang, apabila diterima dengan hati yang dipandu dengan iman, akal yang diletakkan dibawah rasional dan merasa adanya Tuhan insya Allah kita akan sentiasa melihat ujian adalah hadiah untuk menggerakkan diri menjadi lebih produktif berbanding semalam :)

"Sentiasalah bersedia untuk belajar berubah."

Pesanan ana kepada sahabat-sahabat yang mahu melangkah ke marhalah perkahwinan. Sebenarnya bukan sahaja kepada mereka yang ingin berkahwin tetapi kepada semua individu perlulah ada sikap bersedia untuk belajar berubah kerana pengalaman yang dilalui hasil rencam ujian tidak akan bermakna apabila kita memandang dengan sia-sia, sebaliknya sentiasa bersedia untuk belajar berubah kearah positif akan melentur pemikiran kita menjadi lebih matang sesuai dengan bertambahnya usia kita dari sehari ke sehari.

Jangan takut untuk berkahwin kerana Allah, insya Allah... Allah pasti akan membantu untuk menghadapi kesulitan. Belajarlah menggantung harapan kepada Allah, siapa lagi yang kita harapkan kalau bukan kepada Allah? Belajarlah tawakkal kepada Allah, kerana Allah sangat menyukai orang yang bertawakkal kepada Dia ^_~

Saidatina Aisyah juga berkahwin di awal usia, beliau juga bersifat keanak-anakan dan Rasulullah menjadi suami yang melentur (mentarbiyyah) dengan hikmah. Meskipun berkahwin di usia yang muda, ia tidak menjadi penghalang kepada Saidatina Aisyah untuk menjadi isteri yang berpotensi bahkan diantara isteri-isteri Nabi, Saidatina Aisyah yang paling faqeh. Malah, kalau dikumpulkan seluruh wanita tidak akan mampu untuk menandingi kepintaran Saidatina Aisyah. Belajarlah untuk mencontohi beliau, bukan usia penghalang kematangan tetapi menggilap keupayaan dan potensi diri :)

Wallahua'lam.

Insyirah Soleha

4 comments:

  1. nice seha. kawen jangan lupe jemput aku.

    ReplyDelete
  2. nk tny skit blh ? enti dh khwin ke ? ^^
    seronok dgr bab2 khwin ^^

    bila lg kita nk bljr kn ?? ^^

    jazakillah ats prkgsian ^^

    ReplyDelete
  3. salam nurillahee,

    ana belom khwin laa..hehe..betul ckp enti, skrg laa time nk blaja..kalau x bile pulak kan?^_^

    ReplyDelete