Monday, June 24, 2013

"Hari-Hari Dalam Hidupku"

Sudah lama tak menulis. Bagi aku, menulis bukan sesuatu yang mudah. Apatah lagi bercakap. Tulisan yang mampu aku kongsikan adalah perkara yang terkesan pada diri sendiri dan aku pecaya, ianya mungkin bermaanfaat juga pada orang lain, insyaAllah. Moga Allah permudahkan urusanku dan urusan kamu.

Alhamdulillah, baru selesai membaca buku ulung tulisan Zainab al-Ghazali berjudul hari-hari dalam hidupku. Sepanjang pembacaan, aku seolah-olah melihat sendiri dengan mata kepalaku, perjalanan hidup seorang mujahidah yang teguh imannya dan kesabarannya. Aku amat kagum dengan beliau. Kekuatan yang Allah kurniakan padanya untuk menerima setiap seksaan di penjara tentara amat luar biasa. Dengan logik akal, manakah mampu seorang wanita mampu bertahan dengan setiap seksaan dari seksaan kelas 1 hingga kelas 34? Hasbunallahu wani'mal wakeel. Si mujahidah dipindahkan dari bilik tahanan ke bilik penyeksaan. Dari penjara ke penjara yang lain. Setelah pengsan disebabkan oleh sebatan-sebatan yang tak berperikemanusiaan, si mujahidah dihantar kembali ke hospital penjara untuk rawatan. Keesokkan harinya, disebat lagi berpuluh kali. Sebatan, anjing terlatih, api, air, ular, lapar, dahaga. Semua disusun rapi oleh pegawai penjara untuk menyeksa si mujahidah. Apa salah dia sebenarnya? Melawan kerajaan Mesir? Tidak! Beliau bersama-sama IM, hanya mendidik generasi muda untuk mengenal kembali siapa ilah mereka, menjelaskan kembali fikrah dan aqidah umat islam di Mesir ketika itu, membawa panji la illahaillallah muhammadur rasullullah dengan dakwah agar tercapai matlamatnya. Mungkin ada sesetengah pihak mengatakan ini adalah politik kerana si mujahidah Zainab dan Hamidah Qutb, di penjara atas tahanan politik. Jika ini juga terjadi pada negara kita, lalu biarkan. Kerana  aku sendiri percaya, ini politik yang adil di zaman ini.

Ada satu peristiwa yang membuatkan masa seolah-olah berhenti saat aku membacanya. Apa yang terjadi saat itu, kain tirai bilik tahanan as-syahid syed qutb terselak ditiup angin. Terlihat oleh mereka akan wajah as-syahid dan serentak itu, keluarlah cacian, maki -hamun dan kata-kata keji dari mulut-mulut orang yang dibelenggu dengan jahiliyyah, termasuklah si jururawat tadi. Tapi kata-kata lembut dari kesan tarbiyyah yang ada dalam diri as-syahid mampu menundukkan ego/nafsu si pencela. Si jururawat langsung insaf mahu kembali kepada islam dan memperbaharui syahadahnya kepada Zainab al-Ghazali. Sebelum si jururawat mengucapkan syahadahnya, Zainab al-Ghazali mengajukan satu soalan. Satu soalan yang membuatkan aku terduduk diam sejenak.

"Apakah kau sanggup menerima seksaan seperti yang diterima oleh ikhwanul muslimin ini?"

Berulang kali aku membacanya. Adakah aku sanggup? Bayangkan. Si jururawat baru sahaja menyatakan taubatnya lalu diaju soalan sedemikian rupa. Apakah kamu sanggup? Lalu jawab si jururawat,

"Apabila Islamku seperti mereka, Tuhan akan memberikan aku kesabaran dan menguatkan aku, insyaAllah!"

Allahu Allah..Maha Suci Engkau yang memberikan hidayah pada siapa yang Kau suka. Niat yang ikhlas membuatkan iman seseorang menggunung tinggi dengan izinNya. Teguhkan imanku juga ya Rabb. Dalam catatannya lagi, beberapa kali Si Mujahidah menceritakan nikmat mimpinya bertemu Rasulullah saw. Aku cemburu membacanya. Apakah aku layak untuk bertemu mu ya rasulullah? Ah.. ukurlah dirimu dengan Kitab Allah, naurah! Tidakkah kau melihat pengorbanan seorang muslimah yang begitu ketara diseksa sehingga manusia menyangka beliau berumur 60 tahun, padahal beliau jauh lebih muda? Setiap sebatan dan penyeksaan yang beliau terima adalah semata-mata untuk dakwah agar rantai dakwah itu terus sampai dan berhubung pada generasi seterusnya. Tergamak kau memandang ringan perkara ini? Sejujurnya, kau harus berfikiran lebih matang mulai sekarang!

Terlalu banyak yang aku pelajari dari sebuah catatan. Dari kehidupannya sebagai seorang ibu, isteri, ketua, daie, dan muslimah, memang tak dapat aku tuliskan semuanya dan aku mohon  agar Allah menguatkan iman aku terus dengan mesej-mesej islamiyah yang disampaikan oleh mujahidah Zainab al-Ghazali. Moga Allah merahmati beliau. Moga Allah Redha.

No comments:

Post a Comment